Saturday, 11 April 2015

EKSPERIMEN SAINS : TELUR TENGGELAM TIMBUL


Adakah anda sedar bahawa kita lebih mudah terapung di laut berbanding dengan air sungai? Ini berkait rapat dengan ketumpatan air yang berbeza di antara kedua-duanya. 

Apakah yang berlaku? / Pengisian Sains

Telur lebih tumpat dari air biasa dan akan tenggelam ke dasar gelas. Apabila kita larutkan garam ke dalam air, larutan di dalam gelas menjadi lebih tumpat dari telur. Sebab itulah telur itu timbul.

Bahan berlainan dengan isi padu yang sama tidak mempunyai jisim yang sama. Sebagai contoh, bagi isi padu yang sama, besi mempunyai jisim yang lebih berbanding kayu. Oleh itu, besi dikatakan mempunyai ketumpatan yang lebih tinggi berbanding kayu.
Bagi bahan yang mempunyai isi padu yang sama (air di dalam cawan), air yang dilarutkan garam lebih berat daripada air biasa. Oleh itu air bergaram adalah lebih tumpat daripada air biasa.

Ketumpatan sesuatu bahan bergantung kepada jisim bahan tersebut dan juga susunan zarah-zarah atau isi padu bahan tersebut. 

Bahan yang lebih tumpat akan tenggelam di dalam cecair yang kurang tumpat daripadanya. Sebab itulah telur itu tenggelam pada mulanya kerana ia lebih tumpat daripada air biasa. 

Bahan yang kurang tumpat akan timbul atau terapung di dalam cecair yang lebih tumpat daripadanya. Sebab itulah telur itu timbul kerana ia kurang tumpat daripada air yang telah dilarutkan dengan garam.

Tahukah anda?

Mengapa air laut masin? Apabila air mengalir melalui sungai, sedikit demi sedikit garam galian dari batu dan dasar sungai terlarut dengannya. Air yang `masin’ sedikit ini mengalir ke laut. Melalui proses Kitaran Air, air di laut sentiasa tersejat manakala di kutub yang sejuk pula ia membeku. Tinggallah `garam galian’ terlarut di dalam laut. Selepas peredaran masa yang lama, air laut masin kerana sentiasa ada “garam” terlarut di dalamnya!

No comments:

Post a Comment